Translate: Choose your language :-)

Tuesday, 25 August 2015

Makan Angin di Hatyai & Songkla (Part 1)

Kami ke Hatyai dan Songkla, Thailand pada 15-17 Ogos 2015 yang lalu. Ini sedikit perkongsian tentang percutian bajet kami. Moga boleh dijadikan panduan buat mereka yang ingin ke Hatyai & Songkla, terutama dengan anak kecil (Wafiy 1tahun 11bulan) seperti kami :-D

15 OOGOS 2015
(Sabtu - Hari Pertama)

Kami bertolak dari Pulau Pinang dengan menaiki van sewa khusus ke Hatyai dengan harga RM35 seorang pada pukul 9.30pagi. Satu van memuatkan 12orang penumpang. Hari kami pergi, semua penumpang lain orang putih. Kami saja yang tak berapa nak putih :p

Perjalanan kami dari Pulau Pinang, melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Bukit Kayu Hitam lancar. Setelah hampir dengan sempadan, van berhenti di satu perhentian yang tidak dapat saya pastikan namanya kerana saya tidak turun dari van. Wafiy tidur, jadi hanya suami saya yang turun bersama penumpang lain.

Di hentian itu pasport kami dikumpul oleh pemandu van dan setiap kami perlu membayar RM2. Itu memang kebiasaan bagi untuk melewati imigresen menggunakan kereta. Mereka mengambil pasport kita adalah sebagai rujukan untuk mereka isikan arrival dan departure form lengkap dengan ditaip menggunakan komputer. Jadi kita tak perlulah menulisnya sendiri. Baguskan?
Inilah arrival dan departure card yang lengkap diisi dengan cetakan komputer. Tak perlu kita nak tulis sendiri.

Di hentian ini juga terdapat perkhidmatan tukaran wang. Walaubagaimanapun kami dapati ia agak mahal. Tidak pasti sama ada memang ketika itu nilai matawang Malaysia memang sedang jatuh berguling atau mereka memang sengaja ingin mengaut untung lebih. Hal ini kerana beberapa hari sebelum itu kami ada meninjau tukaran wang ditempat lain, ia tidaklah setinggi di situ.

Ini senarai tinjauan kami tempat tukaran wang untuk tujuan ke Thai kali ini:
(1) Kompleks Bukit Jambul Pulau Pinang - kadar tukaran 1000Baht=RM114 (seminggu sebelum bertolak)
(2) Pinang Mall (Butterworth) - 1000Baht= RM117.50 (2hari sebelum bertolak)
(3) Hentian berdekatan sempadan - 1000Baht=118 (15hb Ogos 2015)
(4) Di Hatyai - 1000Baht=RM116 (16hb Ogos 2015)
(5) ATM CIMB (draw duit direct dari atm CIMB) - 1000Baht=RM116 (16&17hb Ogos 2015)

Perbezaan tukaran wang ini mungkin kerana faktor tarikh. Kerana pada ketika ini nilai matawang kita memang tidak stabil (mungkin kerana kes 1mdb & 2.6billion tu. Wallahualam). Walaubagaimanapun, dapat disimpulkan bahawa; jangan tukar duit di hentian dekat sempadan tu, nampak gaya dia memang makan lebih :p Sebaiknya tukar sedikit lebih awal, macam kami cuma tukar 1000Baht sebelum berangkat. Selebihnya adalah lebih baik tukar di Hatyai. Dan lebih baik jika anda ada akaun CIMB, tarik duit guna ATM CIMB di sana. Tukaran lebih telus dan tiada charge pengurusan apa-apa yang dikenakan. Tapi sebelum itu, sila pastikan anda telah setkan kad ATM CIMB anda untuk pengeluaran antarabangsa (international). Jika tidak, anda tidak dapat buat pengeluaran di ATM tersebut :(

Berbalik kepada cerita perjalanan kami. Setelah semua penumpang balik ke van, kami meneruskan perjalanan. Sekitar 5km setelah itu, ada pasukan beruniform menahan van dan membuat pemeriksaan senarai nama penumpang dan menjenguk kami yang di dalam van. Tidak dipastikan mereka itu dari kalangan polis, tentera, atau imigresen mahupun kastam. Kerana uniform mereka saya belum pernah lihat sebelum ini.

Alhamdulillah tiada sebarang masalah. Van kami dilepaskan. Kurang dari 1km setelah itu kami pun tiba di sempadan sekitar jam 12pm. Kami semua diminta turun dari van bersama-sama pasport masing-masing untuk ke kaunter imigresen Malaysia di Bukit Kayu Hitam. Setelah whatsapp kepada keluarga, "Selamat tinggal Malaysia", kami naik semula van sekitar 500meter melewati sempadan Malaysia-Thai. Kini kami di pos Imigresen Sadao, Thailand. Signal/line telefon Malaysia kini tiada lagi. Simbol 'R' muncul menandakan kini telefon saya dalam keadaan Roaming. Terus saya tukar mode telefon kepada 'Flight Mode' agar ia terputus dari sebarang network tetapi telefon masih boleh berfungsi untuk menangkap gambar atau menggunakan wifi kelak:)
Wafiy dan ayahnya beratur di kaunter imigresen dua buah negara yang berbeza :p
Senang pakai carrier macam ni. Anak tak lari-lari, tangan tak lenguh nak dukung :)
Inilah van yang kami naiki dari Pulau Pinang ke Hatyai. RM35 sehala.

Selepas selesai urusan di sempadan, kami meneruskan perjalanan kira-kira 1jam setengah lagi. Sekitar jam 2.00petang kami tiba di kota Hatyai. Van singgah di pejabat syarikat. Waktu ini mereka akan tawarkan tiket atau pakej yang kami perlukan. Ada mat salleh yang nak ke Krabi/Phuket. Jadi mereka boleh beli tiket lanjutan perjalanan mereka dengan harga 400Baht untuk 5/6jam perjalanan dari Hatyai.

Kami menempah tiket balik ke Pulau Pinang. Diberi pilihan nak bayar 400Baht atau RM40. Suami saya yang bijak memilih untuk membayar dalam Ringgit. Kerana nilai 400Baht itu lebih dari RM40 :P Seterusnya kami menempah pakej tour Hatyai-Songkla dengan harga 1500Baht untuk kami bertiga dengan van khas siap dengan pemandu dari jam 9pagi hingga 5petang untuk esok. Cerita tour kami Hatyai-Songkla akan saya coretkan di entri akan datang :) Untuk pakej ini juga kami diberi pilihan untuk bayar RM150 atau 1500Baht, walaupun kami tahu nilai 1500Baht itu lebih dari RM150, tapi terpaksa jua bayar dalam Baht kerana duit Ringgit kami sudah tidak mencukupi :p
Resit tempahan tour Hatyai-Songkla. 1500Baht.

Setelah selesai urusan tempah menempah, van menghantar kami ke hotel yang telah kami tempah lebih awal dari Agoda, iaitu P-Residence. Review saya mengenai hotel ini boleh di baca di entri ini: Hotel Review: P-Residence - Hatyai, Thailand.  :)

Sekitar jam 2.30pm kami selamat tiba di bilik hotel kami yang bernilai RM76 satu malam. Secara ringkasnya kami amat berpuas hati menginap di hotel ini. Insyaallah jika kami ingin kembali ke Hatyai, hotel ini akan menjadi pilihan.
Papan tanda hotel.
Bilik kami lengkap dengan balkoni yang mendamaikan. RM76 semalam.

Setelah berehat dan solat Zohor, kami memulakan langkah kembara kami yang pertama. Iaitu cari makan :p Sebelum berangkat ke mana-mana ada baiknya lakukanlah sedikit research tentang tempat yang bakal dilawati. Jika anda suka makan, jadi google lah siap-siap tempat makan yang sedap. Saya dah siap google dan print screen semua papan tanda kedai. Oh ya, ini bukan kali pertama saya ke Thai, jadi saya tahu yang orang Thai amat lemah berbahasa Inggeris. Jadi dengan tunjuk gambar tujuan lokasi adalah lebih baik.

Kami dapatkan tuktuk di hadapan hotel The Bed. Saya tunjukkan gambar sign board Restoran Kai Tod Decha. Mereka setuju menghantar kami ke sana dengan harga 40Baht untuk kami bertiga.
Papan tanda Restoran Kai Tod Decha.
Ini yang kami makan untuk kali ini. Total: 190Baht. Untuk review tentang makan-nakan di Hatyai & Songkla boleh lihat secara detail di entri ini: Makan-makan di Thailand: Hatyai & Songkla.

Kami selesai makan sekitar jam 3pm waktu Thai (Malaysia 4pm dah). Apabila kami keluar dari restoran, driver tuktuk tadi masih di situ menunggu kami. Mereka menawarkan untuk ke floating market dengan harga 500Baht untuk pergi dan pulang (sebelum itu di hotel receptionist bagitahu 600Baht) Pada mulanya kami tidak mahu kerana pakej tour yang kami telah tempah untuk esok akan membawa kami ke sana. Jadi kami katakan tidak mahu kepada mereka. Seterusnya mereka tawarkan 400Baht.  Kemudian driver tuktuk tawarkan pula 300Baht. Kami masih tidak berminat. Bukan apa, kami pun bajet :p Kami minta mereka hantar kami ke Lee Garden sahaja. Lee Garden adalah pusat beli belah di Hatyai. 

Sewaktu dalam perjalanan ke Lee Garden, kami sempat berbincang. "Ngapain kita ke Lee Garden? Kita bukan nak shopping sangat pun. Kita kan nak jalan-jalan...." :p Jadi kami berubah fikiran. Sebaik sahaja tiba di Lee Garden yang cuma 5minit perjalanan itu, kami beritahu driver yang kami ingin ke floating market dengan harga 300Baht untuk pergi dan pulang. Driver pun dengan gembira membawa kami ke sana. Kesian juga, mereka ni betul-betul perlukan pelanggan demi sesuap nasi anak dan isteri. Moga dengan adanya kami membawa rezeki buat mereka. Insyaallah :) Tapi dalam pada itu cubalah tawar-menawar agar kita dapat win-win situation :-D
Inilah kami di dalam tuktuk nak ke floating market.

Perjalanan ke floating market dari central Hatyai sekitar 17km (menurut google map) sekitar 50minit. Mungkin kerana ada penumpang lain ketika itu, tuktuk hantar mereka dahulu jadi memakan masa lebih sedikit. Tapi tak mengapa, kami menikmati suasana Hatyai dengan tuktuk ini :)

Kami tiba di floating market ini sekitar jam 4pm. Para pedagang sudah mula berjualan. Tapi cuaca agak terik kerana matahari masih tinggi. Jadi saya nasihatkan jika ingin ke floating market, pergilah lewat petang sedikit, sekitar jam 5pm-6pm. Lebih selesa dan tidak terlalu panas, terutama bagi yang membawa anak kecil.


Inilah dia papan tanda Klonghae Floating Market, Hatyai.
Permandangan dari atas jambatan. Masih panas terik di bawah sana. Jadi kami nikmati dahulu suasana.

Sementara menunggu matahari redup sikit, kami jalan-jalan di gerai jualan yang di atas darat. Cerita secara terperinci tentang floating market ni boleh tengok di entri Makan-makan di Hatyai & Songkla. Sekitar 1jam kami di sini, driver tuktuk datang kepada kami, nak ajak balik la tu...hehe..ok, kami ikut dia je tuktuk dan bergerak meninggalkan floating market pada 5.05pm. Kami tiba di hotel sekitar 5.30pm. 25minit perjalanan pulang dari floating market ke hotel kami.

Sampai di hotel, kami makan apa yang kami dah tapau di floating market. Setelah berehat dan solat Maghrib, perut dah mula lapar lagi :p Jadi kami pun bersiap-siap lah untuk jalan-jalan cari makan seterusnya ;) Target asalnya nak ke Restoran Kak Sah. Kami google map siap-siap dari bilik. Tapi setelah pusing-pusing kami tak jumpa juga restorannya. Jadi kami surrender. Banyak tuktuk di sekitar, jadi kami pun tunjukkan gambar papan tanda restoran tersebut yang telah saya print screen. Malang sekali driver tuktuk rabun dekat pulak, katanya dia tak nampak :p Kalau Restoran Kelantan dia tahu. Jadi dia bawa kami ke Restoran Kelantan. Rezeki kami makan malam ini di Restoran Kelantan :)

Papan tanda Restoran Kelantan.

Menu makan malam kami. Tom Yam asli Thai. Total 285Baht. Untuk review restoran ini boleh klik di sini.

Setelah selesai makan, kami berjalan kaki ke Lee Garden. melihat-lihat suasana malam minggu di sana. Meriah dengan pelbagai acara hujung minggu dan jualan. Tapi kami memang tak ada niat nak membeli-belah. Jadi tengok-tengok sahaja. Sekitar jam 10malam kami naik tuktuk untuk pulang ke hotel kerana kami cuba juga nak pulang jalan kaki, tapi tersesat :p Walhal dekat aje. Bangunan kat sana semua serupa...jadi memang konfius :p Kami singgah di 7eleven berdekatan hotel untuk beli kopi 3in1 untuk minum pagi esok. Jalan beberapa langkah dari 7eleven, sampailah ke hotel kami. Selamat Malam Hatyai. Nantikan entri hari kedua kami di Hatyai ye :) Hatyai & Songkla Part 2.

No comments:

Post a Comment